BEIJING – Kapal pengangkut pesawat pertama China mula beroperasi semalam, kata Kementerian Pertahanan di sini.
Ia digunakan selepas China memperbesarkan lagi armada tentera lautnya ketika ketegangan maritim di Laut China Selatan terus meningkat.
Media negara berkenaan melaporkan, upacara pentauliahan kapal induk sepanjang 300 meter itu dihadiri oleh Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao.
Kapal induk itu dibeli dari Ukraine dan dinamakan semula sebagai Liaoning sempena nama wilayah timur laut China yang menempatkan bandar pangkalan tentera laut utama di negara itu, Dalian.
Sebelum dijadikan kapal pengangkut pesawat, Liaoning merupakan kapal separa siap milik tentera laut bekas Kesatuan Soviet.
Kapal itu dibeli daripada pemerintah Ukraine pada harga sekitar AS$20 juta (RM61.4 juta).
Kerja pengubahsuaian mengambil masa selama beberapa tahun.
Liaoning memiliki kapasiti untuk membawa sekitar 26 buah pesawat dan 24 buah helikopter.
Dalam perkembangan berkaitan, Beijing masih belum mendedahkan peranan sebenar kapal induk tersebut selain membantu melindungi perairan China.
“Kapal induk itu juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pertahanan negara dan keupayaan ketenteraan,” kata bekas pegawai tentera laut China, Yang Yi kepada akhbar China Daily yang disiarkan semalam. – Agensi
Di petik dari MyBerita
No comments: